Karangan Pendapat ~ Masalah Disiplin

Masalah disiplin, terutamanya ponteng sekolah dalam kalangan pelajar semakin berleluasa pada masa ini. Pada pendapat anda, apakah peranan yang perlu dimainkan oleh pelbagai pihak untuk membendung masalah ini daripada menjadi semakin serius?

    Sebenarnya, masalah disiplin dalam kalangan pelajar masih belum dapat diatasi sepenuhnya walaupun banyak langkah telah diambil dan dilaksanakan oleh pihak sekolah. Walaupun Kementerian Pelajaran dikatakan dapat menyelesaikan masalah buli dan gangsterisme dalam kalangan pelajar, tetapi masalah ponteng sekolah dan masalah-masalah lain masih menjadi satu isu yang perlu ditangani segera. Kita perlu sedar bahawa hukuman buang sekolah dan gantung persekolahan bukan cara terbaik untuk mengatasi masalah pelajar. Seharusnya, sistem pendidikan kita perlu dikaji semula kerana sistem pendidikan sekarang tidak mempunyai roh mendidik dan membimbing. Jadi, apakah yang akan terjadi kepada pelajar kita yang suka ponteng sekolah ini dan akan terlibat dalam pelbagai gejala sosial? Kita perlu sedar bahawa generasi muda ialah generasi yang akan meneruskan perjuangan negara dan mereka yang menerajui pucuk kepimpinan negara ini kelak.
         Salah satu pihak yang perlu bertanggungjawab dalam menangani masalah ponteng sekolah dalam kalangan pelajar ialah ibu bapa kerana mereka menerajui sesebuah institusi keluarga. Setiap ibu bapa perlu bertanggungjawab untuk memastikan anak-anak pergi ke sekolah pada setiap hari persekolahan dan berada di sekolah sehingga tamat persekolahan. Hal ini perlu dititikberatkan oleh ibu bapa. Saidina Umar Al-Khattab pernah berpesan kepada ibu bapa dengan berkata "Didiklah anakmu mengikut zaman mereka." Pesanan ini mengingatkan ibu bapa supaya kembali kepada tanggungjawab yang cukup berat dan perlu digalas bersama-sama, iaitu mendidik anak mengikut kemahuan mereka, tetapi pada landasan yang makruf. Setiap anak yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T itu hendaklah dididik supaya menjadi insan yang berguna. Bagi menyedarkan ibu bapa tentang tanggungjawab ini, maka Kementerian Pelajaran melancarkan Siri Jelajah Kempen Menangani Gejala Disiplin Murid di Sekolah yang dilancarkan di Kuala Lumpur, di Sungai Petani, di Pulau Pinang, dan di Ipoh pada tahun 2006 untuk memberikan kesedaran kepada ibu bapa dan penjaga pelajar berhubung dengan masalah disiplin yang sering dikaitkan dengan pelajar. Mereka tidak harus bergantung kepada sekolah bagi menangani masalah disiplin yang berlaku dalam kalangan pelajar. Oleh itu, ibu bapa dan penjaga pelajar harus bekerjasama dengan pihak lain dan mengambil berat terhadap segala segala aktiviti yang disertai oleh anak mereka sama ada di sekolah atau di luar sekolah bagi memastikan masalah disiplin yang membabitkan pelajar dapat dikawal dari semasa ke semasa.
        Selain peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa,langkah untuk mengatasi masalah ponteng sekolah dalam kalangan pelajar juga terletak kepada pihak sekolah, khususnya pihak guru. Setiap guru yang menjadi guru kelas atau guru tingkatan perlu melaporkan masalah ponteng sekolah kepada Guru Besar atau Pengetua, malah menghubungi ibu bapa pelajar yang terlibat untuk memaklumkan hal itu kepada mereka. Sekirannya seseorang pelajar masih juga ponteng sekolah selama tiga hari berturut-turut setelah ibu bapa mereka dimaklumkan, maka pihak sekolah perlu mengunjungi rumah pelajar berkenaan untuk bertemu dengan pelajar dan keluarga pelajar bagi membincangkan masalah yang dihadapi oleh mereka.  Guru perlu diberikan kuasa polis untuk menahan mana-mana pelajar yang didapati ponteng sekolah, manakal pengurusan sekolah dibenarkan memasuki premis kafe siber untuk membanteras gejala ponteng sekolah. Cadangan itu adalah antara pilihan yang diteliti oleh Jawatankuasa Bertindak dalam Aspek Perundangan dan Penguatkuasaan, iaitu satu daripada empat jawatankuasa kecil di bawah Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Pelajar. Menteri Pelajaran mengatakan bahawa ada beberapa halangan bagi menangani masalah disiplin pelajar , termasuk polis tidak boleh menahan mereka yang ponteng sekolah ,manakala pihak sekolah tiada kuasa memasuki premis lokasi pelajar melepak. Oleh itu, peraturan itu perlu dipindah untuk memberikan kuasa kepada polis untuk menahan pelajar yang ponteng sekolah dan pihak sekolah boleh memasuki premis yang menjadi lokasi pelajar melepak.
      Akhirnya, agensi kerajaan yang lain sama ada yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dengan pendidikan perlu bertanggungjawab untuk menahan dan menangkap pelajar yang didapati bahawa ponteng sekolah dan tidak berada di sekolah pada masa persekolahan. Guru dan ibu bapa mungkin tidak menyedari hal ini berlaku kerana mereka menjalankan kerja mereka pada masa itu. Jadi, penubuhan Pasukan Petugas Antiponteng bagi memantau masalah ponteng sekolah adalah wajar dan pasukan ini perlu melaksanakan tugas mereka dengan baik. Malah, guru yang ditugaskan untuk menyertai operasi yang dijalankan perlu menerima tanggungjawab itu dengan dada yang  terbuka dan tidak menganggapnya sebagai beban baru kepada mereka. Guru diperlukan bagi memantau gejala ponteng sekolah dengan ditemani oleh pegawai polis, kakitangan pihak berkuasa tempatan, dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru. Pemantauan ini  hendaklah dijalankan berterusan dan tidak dilaksanakan secara berkala atau seperti mengaburi mata pihak-pihak tertentu yang sering mempersoalkan masalah ini.
     Sebagai rumusan tentang perbincangan ini, semua pihak perlu berganding bahu mendidik generasi muda supaya mereka tidak melakukan sebarang kegiatan negatif atau menimbulkan masalah seperti ponteng sekolah, mencuri, melepak dan sebagainya. Semua pihak perlu sedar bahawa mendidik anak-anak muda umpama menjaga dan memelihara benih pokok agar pokok yang ditanam dapat menghasilkan bunga yang cantik dan buah yang manis untuk dinikmati kelak. Hal ini tentu mengambil masa dan memerlukan ketabahan. Jadi, semua pihak perlu berperanan dan bertanggungjawab untuk mengatasi masalah disiplin pelajar, khususnya masalah ponteng sekolah yang dibincangkan.
        

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

karangan pendapat~ Tahun Melawat Malaysia

Cara untuk move on